Insights

ADKAR – Model Pengurusan Perubahan Buat Organisasi Sahaja?

ADKAR merupakan satu model Pengurusan Perubahan yang dibangunkan pada 2003 oleh Jeffery Hiatt, pelopor kepada metodologi Pengurusan Perubahan Prosci. Metodologi ini digunakan oleh organisasi dan individu dalam memastikan kelancaran perubahan daripada satu peringkat ke tahap yang seterusnya.


Apakah itu ADKAR?

Namun begitu, penggunaan model ADKAR selalunya hanya dikaitkan dengan perubahan dalam organisasi dan jarang dikaitkan kepada perubahan dalam diri seseorang individu. Terdapat satu insiden perubahan budaya yang telah dialami oleh seorang ahli jemaah surau yang telah menarik perhatian bahawa Model ADKAR boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Di sebuah surau yang sering dikunjungi oleh penduduk peringkat pertengahan di pinggir kota metropolitan Kuala Lumpur, perbuatan mendermakan duit setiap hari ke dalam tabung surau oleh ahli jemaah kini menjadi satu budaya. Walaupun populasi taman tersebut rendah, surau tersebut tidak pernah mengalami masalah kewangan kerana semua program dan penyelenggaraan dibiayai sepenuhnya oleh penduduk.  Perbuatan menderma setiap hari kepada tabung surau telah menjadi satu kelaziman dan budaya penduduk taman ini.


Bagaimanakah kejadian ini boleh berlaku?

Awareness/ Kesedaran bermula apabila seorang ahli jemaah baru di kawasan taman tersebut memulakan perbuatan menderma setiap kali beliau solat Subuh di surau tersebut. Tindakan beliau yang istiqamah setiap hari menyumbang ke tabung surau menarik perhatian majoriti jemaah lain. Setiap kali beliau sampai untuk solat subuh, tindakan beliau yang pertama adalah menyumbangkan wang ke tabung surau. Perbuatan yang berterusan untuk beberapa ketika telah berjaya menarik perhatian dan menimbulkan KESEDARAN kepada seluruh ahli jemaah lain. Sedikit demi sedikit, ianya telah menimbulkan KEINGINAN kepada ahli jemaah lain untuk turut melakukan perbuatan ‘amal’ yang baik ini.

Desire/ Keinginan kini timbul dalam kalangan ahli jemaah yang lain untuk memahami, meniru atau mencontohi perbuatan yang dilakukan oleh ahli jemaah tersebut. Keinginan terus dipupuk apabila semakin ramai yang mula berbicara tentang perbuatan terpuji ahli jemaah tersebut. Walaupun kurang memahami kelebihan bersedekah setiap hari pada waktu Subuh,  keinginan yang wujud dalam kalangan ahli jemaah menatijahkan sebahagian daripada ahli jemaah untuk mula menyumbang ke tabung dan surau walaupun bukan secara konsisten ‘istiqamah’. Pertanyaan mula timbul di fikiran apakah fadhilat atau kelebihan bersedeqah setiap hari di waktu Subuh. Disini,bermula fasa perubahan daripada KEINGINAN kepada mencari PENGETAHUAN terhadap perbuatan yang dilakukan.

Knowledge/ Pengetahuan mula dicari apabila KESEDARAN dan KEINGINAN telah dicapai. Untuk mendasarkan sesuatu tindakan, Pengetahuan terhadap sesuatu perkara harus diperolehi. Perbuatan yang semata-mata berdasarkan IKUTAN tidak akan bertahan lama sekiranya tiada kefahaman yang mendalam terhadap perbuatan tersebut. Pengetahuan juga membantu memantapkan kefahaman terhadap sesuatu perkara serta membetulkan kefahaman yang salah terhadap sesuatu perkara. Pengetahuan seharusnya berdasarkan fakta, bukti, nas ataupun petunjuk daripada sandaran kepada perbuatan tersebut. Bagi kes ahli jemaah ini, contoh sandaran fakta oleh  Abu Hurairah radhiyallahu ‘anh, bahawa sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda:

“Tidak ada satu Subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)”(HR Bukhary 5/270).

PENGETAHUAN yang mendalam berdasarkan fakta terhadap sesuatu perkara akan memberikan kefahaman dan membentuk KEUPAYAAN untuk melestarikan perbuatan tersebut.

Ability/ Keupayaan mula berputik setelah individu mempunyai kesedaran ,keinginan dan pengetahuan terhadap perbuatan tersebut. Keupayaan juga akan terus dibangunkan apabila setiap individu mengamalkan perbuatan, lantas menjadikannya sebagai satu pengalaman yang mengembirakan. Dr Dan Harrison yang mempelopori Harrison Assessment menjelaskan dalam Enjoy Performance Theory bahawa setiap individu akan meningkatkan keupayaan apabila  perbuatan/aktiviti yang dilaksanakan itu membawa kegembiraan. Dalam fasa ini, ahli jemaah yang lain telah mampu  melaksanakan perbuatan tersebut tanpa perlu mengikut ahli jemaah lain. Namun begitu, sokongan daripada ahli-ahli yang lain mampu mengukuhkan keupayaan tersebut. KEUPAYAAN akan menatijahkan kelestarian sekiranya wujud suasana yang KUKUH.

Reinforce/ Pengukuhan kelestarian (sustainability) akan mula terhasil terhadap sesuatu perbuatan apabila wujud suasana yang mengukuhkan antara satu sama lain. Apabila tiada budaya menjatuhkan orang lain dalam sesebuah organisasi, maka ia akan  meningkatkan kelestarian sesuatu perbuatan. Budaya yang positif dan, saling membantu antara satu sama lain akan mengukuhkan sesuatu perbuatan dalam sesebuah organisasi. Contohnya, ahli jemaah kini dapat melihat natijah daripada perbuatannya yang berterusan, ia telah menghasilkan satu Jaringan Perubahan (Change Network) dalam komuniti beliau dan saling ‘Reinforce’ untuk memastikan kelestarian perbuatan tersebut dan menjadikannya satu budaya dalam komuniti dan organisasi.

Pengalaman ini membuktikan bahawa Model ADKAR boleh diaplikasikan bukan sahaja dalam program pengurusan perubahan organisasi, malahan mampu  menghasilkan impak yang positif dalam program pengurusan perubahan individu sekiranya dilaksanakan mengikut metodologi yang digariskan.

Perbuatan menyumbang setiap hari pada waktu pagi telah menjadi satu norma dan budaya yang lestari dalam komuniti tersebut. Perkara ini adalah sesuatu yang membanggakan dan terpuji.


RUJUKAN

  1. Hiatt, J. (2006). ADKAR: a model for change in business, government, and our community. Prosci Learning Center Publications. 
  2. Bukhari, M. (1997). The Translations and Meanings of Sahih Al-Bukhari. Vol. 2 (M. Khan. Trans.). Riyadh: Darussalam. Hadis (Sahih Bukhari Jilid 2, Buku 24, Hadis 522)
  3. Harrison, D. (2015). Harrison Assessments Technical Manual Section 1. Intl' Ltd. HarrisonAssessments. http://www.agiledge.com/