Perubahan bukan usaha seorang,
Perubahan bukan usaha sekali,
Untuk menangkan perubahan tidak senang,
Perlu usaha Adiwira Perubahan tanpa henti.
Apabila ditanya ‘Apakah definisi adiwira bagi anda?’ Mungkin ada yang menyatakan ‘superhero yang ada kuasa luar biasa’ atau mungkin ‘individu yang berotot dan kuat’.
Jika saya,saya mendefinisikan adiwira adalah seseorang yang menggunakan kemampuannya untuk membantu orang lain.
Sebagai seorang Gen Y yang dibesarkan bersama kartun-kartun semasa tahun 1990an, adiwira yang tidak asing bagi saya semestinya Doraemon. Saya dan abang akan setia menunggu di hadapan TV7 pada pukul 7 malam, selepas kami bermain di luar untuk menonton siri kartun ini. Kenapa Doraemon? Kerana Doraemon mempunyai pelbagai alat magis dan luar kotak yang mampu menyelesaikan masalah Nobita, iaitu rakan karibnya. Sehingga kini, pintu ajaib tetap menjadi pujaan saya, saya hanya perlu membayangkan ke mana saya hendak pergi dengan hanya menggunakan imaginasi! Doraemon adalah contoh adiwira yang menggunakan pelbagai alat luar biasanya untuk membantu orang lain.
Saya telah diberi peluang bersama dengan pasukan kecil saya untuk terlibat di dalam projekskop pengurusan perubahan. Kami berkhidmat untuk klien daripada sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan signifikan dalam sektor pendigitalan negara. Antara tugasan kami di dalam skop ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pentadbir-pentadbir sistem perkhidmatan kerajaan yang dikenali sebagai Sistem A (bukan nama sebenar). Pegawai-pegawai ini didedahkan dengan kepentingan memahami tanggungjawab mereka sebagai pegawai yang dilantik untuk mengelola sistem dan membuat perubahan di dalam organisasi mereka bagi mencapai objektif pelaksanaan sistem ini.
Di setiap seminar yang kami anjurkan, berjumpa dengan pentadbir-pentadbir sistem yang terdiri daripada pelbagai agensi dan negeri, kami pasti gelarkan mereka sebagai Adiwira Perubahan. Mungkin anda tertanya; ‘Kenapa?’
Pertama, mereka adalah insan-insan yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan dan menjadi pemangkin matlamat penggunaan Sistem A ini.
Kedua, mereka adalah penyokong kuat kepada penggunaan sistem ini yang berperanan memberi kesedaran dan kefahaman di samping memberi semangat untuk menggunakan sistem ini dengan sebaiknya.
Seterusnya, mereka adalah penyelamat bagi pengguna-penguna sistem yang menghadapi masalah dan perlu merujuk mereka jika terdapat isu yang perlu diselesaikan.
Jadi, jika kita kembali kepada definisi adiwira yang saya telah sebutkan di atas, dan merujuk kepada kartun Doraemon, seorang adiwira harus ada kemampuan atau ‘kuasa luar biasa’ untuk membantu orang lain, jadi apakah kemampuan Adiwira Perubahan?
‘Kuasa luar biasa’ mereka adalah;
a) Kuasa Komunikasi: Menyampaikan info dan maklumat yang berkesan kepada pengguna-pengguna sistem.
b) Kuasa Latihan: Mendapatkan bimbingan yang betul daripada agensi kerajaan dan menyampaikan semula latihan di dalam organisasi untuk kefahaman yang lain.
c) Kuasa Penglibatan: Memastikan penglibatan akan pengguna-pengguna sistem dalam pelaksanaan sistem ini dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna dijalankan dengan sebaiknya serta berintegriti.
Besar bukan, tanggungjawab sebagai Adiwira Perubahan? Adiwira atau ejen perubahan inilah yang akan membantu orang lain di sekeliling dengan menggunakan kemampuan mereka untuk memangkin proses penerimaan dan penggunaan sistem tersebut untuk mendapatkan manfaat. Mereka menjalankan tanggungjawab dengan menawarkan‘kuasa-kuasa luar biasa’ mereka kepada pengguna-pengguna sistem ini untuk mengguna pakai perkhidmatan yang telah disediakan oleh kerajaan secara optimum, seterusnya menyumbang kembali kepada usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan digital kerajaan dan kemajuan negara.
Seperti pantun yang ditulis di atas, benarlah bahawa untuk melakukan perubahan perlu usaha yang berterusan dan ia bukan usaha sendiri. Untuk berlakunya perubahan di dalam sesuatu organisasi itu, ia perlu usaha adiwira yang tetap terus berjuang. Dan ya, mereka bukan adiwira yang didendang, tapi akan senantiasa dikenang.
Coretan adiwira yang memberi semangat kepada adiwira perubahan.
Artikel ini ditulis oleh Nurul Ashira Azman.